Sinopsis Keria Women

Mengisahkan tentang Naura, seorang pengurus kewangan di sebuah syarikat terkemuka yang kecewa setelah menjadi mangsa diskriminasi dan gangguan seksual di tempat kerja. Oleh kerana layanan yang tidak adil diberikan oleh bossnya, Naura tidak teragak-agak untuk meletak jawatan walaupun sebelum ini selesa dengan pekerjaannya di situ.

Sally, pembantu peribadi Naura telah mengajak Naura untuk pulang ke kampung halamannya di Melaka agar Naura dapat menenangkan diri daripada peristiwa tersebut. Pada awalnya, Naura berasa janggal dan sukar untuk menyesuaikan diri dengan suasana di kampung kerana dia telah dibesarkan di bandar sejak umurnya masih kecil.

Cik Mah, ibu kepada Sally merupakan seorang peniaga kuih keria warisan yang cukup terkenal di kampung itu. Naura dapat melihat kuih keria Cik Mah itu berpotensi untuk tembus ke pasaran luar lantaran keistimewaan dan sambutan yang luar biasa. Berbekalkan pengetahuan dan pengalamannya sebagai pengurus kewangan, Naura mula membuat pelan bisnes untuk mengkomersialkan kuih keria itu walaupun masih janggal dengan peralihan kariernya. Berhasilkah percaturan Naura untuk mengkomersialkan kuih keria Cik Mah?